Thursday, December 15, 2022

Hebatnya Kismis! : Kecil Tapi Kaya Dengan Nutrisi & Vitamin

Hebatnya Kismis! : Kecil Tapi Kaya Dengan Nutrisi & Vitamin


Kismis telah mendapat tempat di seluruh negara termasuk Malaysia sejak ratusan tahun lagi. Dalam bahasa Inggeris ia biasa dikenali dengan nama raisins. Dalam bahasa Arab pula dipanggil zabib.

Makanan kismis ini berasal daripada buah anggur yang telah menjalani proses penyahidratan (pengeringan) sama ada melalui sinar matahari atau menggunakan ketuhar. Tambahan lagi, terdapat beberapa jenis kismis yang ada di pasaran seperti sultana, malaga, monukka, dan muscat.

Saiz kismis pula agak kecil dan kebiasaannya berukuran hanya separuh daripada duit syiling lima sen. Rupa fizikal yang sedemikian adalah disebabkan proses pengeringan tadi yang telah menyerap semua cecair yang ada dalam buah anggur tersebut sehingga mengecut.


Warna kismis bergantung pada keranuman buah anggur tersebut. Jika anggur itu masih muda maka warna kismis akan menjadi kuning keemasan. Rasanya yang manis juga telah menjadikan kismis ini sebagai manisan atau gula-gula asli yang semula jadi.

Penjelasan lanjut akan menceritakan serba sedikit tentang khasiat dan kebaikan kismis khususnya untuk kesihatan tubuh badan dan minda.

1. Kaya Dengan Nutrisi


Kismis terkenal sebagai salah satu buah kering yang sangat kaya dengan nutrisi serta vitamin. Ia juga bebas dari mengandungi kolestrol, rendah sodium, dan tiada lemak. Vitamin dan mineral seperti kalsium, serat, dan zat besi menawarkan khasiat yang penting untuk kesihatan tubuh badan.

Dari segi kandungan gula pula memang kismis amat tinggi. Namun begitu, gula kismis adalah jenis fruktosa di mana ia merupakan gula semula jadi dan dikenali sebagai gula ringkas. Gula fruktosa amat mudah diproses oleh badan untuk menjadi bahan tenaga.

2. Anti-Radikal Bebas


Kismis dipercayai mempunyai ciri anti-radikal bebas dan juga memberi fungsi lain seperti sumber tenaga, meningkatkan kekuatan tulang, menguatkan gigi, serta memperbaiki daya penglihatan. Khasiat ini bukan sahaja berkesan pada kanak-kanak, malah turut memanfaatkan orang dewasa.

3. Melawan Bakteria Dalam Mulut


Pengambilan kismis juga dapat membantu membersihkan mulut dan gusi dari kotoran serta bakteria. Ini kerana dalam kismis tersebut mempunyai bahan fitokimia yang fungsinya untuk melawan dan membasmi bakteria yang boleh menyebabkan penyakit mulut.

Rumusan

Kismis sering dijadikan sebagai snek ringan yang dimakan santai mahu pun dicampurkan dalam roti atau nasi. Tidak hairan sebelum ini banyak produk yang berasaskan kismis digunakan bagi meningkatkan kecerdasan otak dan kesihatan tubuh badan.

Siapa sangka buah anggur yang telah dikeringkan melalui proses penyahidratan ini mempunyai banyak manfaat dan khasiat. Kandungan kismis juga memberi kebaikan dari pelbagai sudut seperti penglihatan, tulang, mulut, otak, dan lain-lain lagi.

Whatsapp Button works on Mobile Device only

Start typing and press Enter to search