Tuesday, December 20, 2022

Kota Venice Bakal Tenggelam Sepenuhnya? : Baca 6 Fakta Menarik Tentang Bandar 'Ratu Akuatik' Ini!

Kota Venice Bakal Tenggelam Sepenuhnya? : Baca 6 Fakta Menarik Tentang Bandar 'Ratu Akuatik' Ini!


Antara destinasi pelancongan yang sangat menarik untuk dilawati ialah Kota Venice, Itali. Siapa je yang tak kenal dengan kota yang 'antik' dan dikelilingi air di sekitar bangunan-bangunan di sini. Mesti korang selalu berangan menaiki perahu atau lebih dikenali dengan 'gondola' sambil menikmati pemandangan indah serta ditemani alunan muzik Itali.

Kota Venice sebenarnya telah wujud sejak ribuan tahun dahulu lagi dan ia memiliki banyak gelaran nama seperti 'La Dominante', 'Serenissima', 'Ratu Adriatik', 'Bandar Raya Air', dan 'Bandar Raya Cahaya'. Tidak hairan lah mengapa tempat ini sentiasa menjadi pilihan destinasi bagi para pelancong.

Pada artikel kali ini saya akan kongsikan beberapa fakta menarik tentang Venice yang boleh korang pelajari;

1. Dikelilingi Ratusan Pulau Kecil


Venice ialah sebuah kota yang mempunyai banyak pulau-pulau kecil berhampiran dengannya. Kawasan ini direkodkan memiliki sekitar lebih dari 118 pulau kecil dan dipisahkan dengan lebih dari 170 kanal. Kanal-kanal ini biasanya dihubungkan melalui jambatan dan dikatakan terdapat lebih dari 400 jambatan yang menjadi penghubung antara pulau.

2. Mempunyai Jalan Paling Sempit Di Dunia


Kalau korang biasa tengok dalam filem yang membuat penggambaran di Venice, mesti terlihat banyak bangunan yang disusun rapat dan padat serta jarang kita nampak jalan atau lorong. Kalau ada pun ianya tersangat kecil dan sempit sehinggakan rekod jalan tersempit di dunia dimiliki oleh Kota Venice ini, iaitu berada di Calle Varisco yang mempunyai kelebaran 53 sentimeter sahaja.

3. Venice Bakal Tenggelam?


Menurut pemerhatian oleh beberapa pakar, Kota Venice bakal ditenggelami air dalam masa beberapa tahun lagi. Ini disebabkan bahagian daratan kota ini mengalami penurunan 1-2 milimeter setiap tahun yang berpunca sama ada dari alam semula jadi dan juga perbuatan manusia.

4. Ombra Minuman Paling Popular 


Masyarakat Itali di Venice sangat menggemari minuman yang dikenali sebagai Ombra ini. Perkataan Ombra ini diambil dari maksud bayangan tapi asal-usulnya masih tidak diketahui. Ada yang mengatakan nama tersebut merujuk kepada warna anggur yang lutsinar. Selain itu, kisah para pekerja yang berehat sambil menikmati minuman wine di bawah bayangan Bell Tower juga menyumbang kepada sejarah bagaimana istilah Ombra itu dicipta.

5. Gondola Adalah Pengangkutan Utama


Kita semua dah biasa melihat kereta, motorsikal, atau bas yang menjadi sistem pengangkutan utama yang menghubungkan seseorang itu dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain. Namun begitu, berbeza sama sekali dengan Kota Venice yang menjadikan gondola atau perahu sampan sebagai transportasi utama selama lebih 500 tahun. Malah pada sekitar abad ke-17, dikatakan terdapat 10,000 gondola yang berlayar di kanal-kanal Kota Venice.

6. Venice Akan Jadi 'Kota Hantu'


Ada teori yang mengatakan Kota Venice akan menjadi 'Kota Hantu' menjelang tahun 2030. Yang menariknya, pada masa tersebut juga Venice masih akan mempunyai pelancong yang datang pada waktu siang tetapi terus pulang pada malam hari. Hal ini kerana populasi penduduk di kawasan ini menurun secara drastik. Trend penurunan ini berpunca daripada penduduk tempatan yang memilih untuk pindah keluar kerana ancaman tenggelamnya kota tersebut semakin realistik.

Whatsapp Button works on Mobile Device only

Start typing and press Enter to search